Sunday, December 5, 2010

Bahaya botol plastik!!!!

Botol Barah
at 11:17 PM
Kecenderungan penduduk negara ini menggunakan botol air mineral plastik
secara berulang kali untuk menjimatkan kos, sebenarnya boleh mengundang
maut.
Ini kerana kajian menunjukkan penggunaan botol dan pembungkus plastik
polyvinyl chloride (PVC) berulang kali akan mendedahkan penggunanya
terhadap unsur kimia seperti 'vinyl cloride monomer' (VCM) dan 'phthalates'.
VCM dikenalpasti mengandungi karsinogen yang boleh menyebabkan barah.
Pensyarah Kesihatan Persekitaran di Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti
Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Jamal Hisham
Hashim, berkata botol plastik air mineral atau minuman ringan hanya boleh
digunakan semula sekali atau dua sebelum dibuang.
"Selain VCM dan phthalates, bekas plastik mengandungi bahan logam
berbahaya seperti kadmium yang digunakan sebagai 'plastisizer' iaitu untuk
meningkatkan kualiti plastik supaya warnanya cerah dan tidak kekuningan
biarpun lama digunakan. Penggunaan secara berulang boleh menyebabkan
kadmium di dalamnya terhakis dan mencemarkan makanan atau minuman,"
katanya.
"Pembungkus makanan daripada bahan PVC sepatutnya tidak boleh
mengandungi lebih daripada satu miligram per kilogram (mg/kg) VCM.
"Makanan yang dibungkus dengan PVC dan dicemari VCM melebihi 0.05mg /kg
tidak sesuai dimakan kerana boleh mendatangkan kesan mudarat pada
kesihatan," katanya.
Dr Jamal berkata, beg plastik makanan diperbuat daripada polyethylene (PE)
dan PE tidak mengandungi VCM. Jadi penggunaannya tidak menyebabkan
barah, namun masih tidak sesuai digunakan berulang-ulang.
Katanya, botol minuman diperbuat daripada polyethylene terephthalate (PET)
selamat digunakan dalam keadaan biasa, namun memanaskannya boleh
mengeluarkan 'phthalates'.
Phthalates disyaki boleh meniru hormon manusia, tetapi ia tidak menyebabkan
barah, namun ia boleh mengganggu fungsi hormon manusia.
"Jika peraturan ini tidak dipatuhi, ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada
pengguna. Peraturan mengenai pembungkus dan bekas makanan daripada PVC
terkandung di dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.
"Namun tidak ramai menyedarinya kerana kesedaran terhadap penggunaan
barangan plastik untuk pembungkusan atau menyimpan makanan atau air masih
rendah," katanya.
Dr Jamal berkata, penggunaan botol plastik mengundang bahaya lain seperti
jangkitan kuman kerana bakteria boleh membiak berikutan bahan itu sukar dicuci
bersih dan melekat daki.
"Jika ragu-ragu mengenai jenis plastik yang boleh digunakan secara berulang
untuk menyimpan makanan, sila rujuk kepada Bahagian Kawalan Mutu
Kementerian Kesihatan," katanya.
Kenyataan Dr Jamal mengesahkan laporan Buletin Pengguna mengenai bahaya
penyalahgunaan botol plastik serta bekas makanan diperbuat daripada stirofom
dan polisterin.
Buletin itu diterbitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia (Fomca).
Pengarah Komunikasi Fomca yang juga Timbalan Ketua Sidang Pengarang
Buletin Pengguna, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya
mengetengahkan bahaya penggunaan botol plastik berulang kali kerana ramai
menggunakan botol air mineral sebagai bekas minuman di dalam peti sejuk.
"Lebih berbahaya, ramai menjadikan botol itu sebagai bekas minuman anak ke
sekolah, bekal ke pejabat atau untuk beriadah. Sedangkan botol berkenaan
hanya boleh digunakan sekali atau dua atau paling lama seminggu sebelum
perlu dibuang," katanya.
Mohd Yusof berkata, kurang pengetahuan dan kesedaran menyebabkan banyak
lagi amalan rakyat negara ini mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit
kronik.
Katanya, penggunaan kertas akhbar dan majalah, selain bekas makanan
diperbuat daripada stirofom atau polisterin, juga boleh mengakibatkan
tersebarnya logam ke dalam tubuh.
"Kertas akhbar dan majalah mengandungi timah hitam melebihi had dibenarkan.
Apabila timah hitam ini ada dalam tubuh, ia masuk ke saluran pernafasan dan
pencernaan, seterusnya sistem peredaran darah sebelum tersebar ke bahagian
lain seperti ginjal, hati, otak, saraf dan tulang. Ini cukup berbahaya dan tidak
boleh dijadikan pembungkus makanan.
"Bahan pembungkus stirofom dan polisterin pula kini cukup popular, tetapi kajian
mendapati ia mengandungi bahan unsur karsinogen," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Mohamed Siraj Razack, turut
memberi amaran mengenai bahaya penggunaan botol plastik, bekas menyimpan
makanan serta bahan pembungkus jenis stirofon atau polisterin yang
disifatkannya pembunuh senyap.
"Bahan berasaskan plastik itu boleh digunakan sekali dua saja. Jika dibasuh
berulang kali, bahagian dalamnya terhakis dan mengeluarkan bahan kimia yang
memudaratkan kesihatan," katanya.
Mohamed Siraj berkata, bahan kimia dalam bekas plastik mudah terhasil apabila
terkena cahaya matahari, misalnya botol mineral bagi mengisi air minuman yang
ditinggalkan dalam kereta.
"Bekas plastik terbabit sepatutnya dikitar semula untuk dijadikan barangan
berasaskan plastik lain yang tiada kaitan dengan makanan.
"Sebaiknya, untuk menyimpan makanan atau minuman, gunakan bahan dibuat
khusus untuk digunakan berulang kali, misalnya termos atau jenis plastik tahan
panas dan khusus untuk menyimpan makanan," katanya.
Mohamad Siraj berkata, kepanasan makanan atau minuman yang disimpan
dalam bekas plastik tertentu juga boleh menghasilkan bahan kimia yang
memudaratkan kesihatan, misalnya amalan minum teh tarik bungkus.
"Teh tarik seeloknya diminum menggunakan cawan kerana wap yang keluar
daripada plastik pembungkus yang bercampur dengan teh boleh menyebabkan
tindak balas kimia.
"Kari panas dibungkus menggunakan bahan plastik juga amalan tidak baik dan
kesannya sama seperti teh tarik bungkus," katanya.
Mohamed Siraj berkata, semua barangan plastik diterima oleh pusat kitar
semula. Sehubungan itu, kesedaran terhadap bahaya penggunaan bekas plastik
secara berulang akan mengalihkan perhatian pengguna untuk mengitar semula
barangan terbabit dalam menjaga alam sekitar

No comments:

Post a Comment